03 November 2014

PUKULAN BALAS: MPPK KECAM UM DAN KPM?




KENYATAAN MEDIA

KENYATAAN RASMI TENTANG TINDAKAN PERSATUAN MAHASISWA UNIVERSITI MALAYA (PMUM) MENGANJURKAN PROGRAM PIDATO UMUM DATUK SERI ANWAR IBRAHIM: 40 TAHUN DARI UNIVERSITI MALAYA KE PENJARA DI DATARAN DEWAN TUNKU CANSELOR, UM ISNIN LALU.

Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan  (MPPK) tidak bersetuju dengan keputusan pihak pengurusan Universiti  Malaya yang menghalang Dato Seri Anwar Ibrahim untuk masuk ke Universiti Malaya bagi menghadiri perhimpunan yang dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya. Pada pandangan kami, beliau memohon untuk masuk ke UM atas kapasiti alumni bukan atas kapasiti ahli politik. Sepertimana Universiti Malaya membenarkan pemimpin pemimpin UMNO yang merupakan alumninya untuk masuk ke kampus, maka, Universiti Malaya juga perlu membenarkan Dato Seri Anwar Ibrahim. 

Namun demikian, MPPK berpendapat bahawa pidato yang dianjurkan ini adalah bersifat berat sebelah. Umum mengetahui bahawa Dato Seri Anwar Ibrahim sedang mengikuti kes perbicaraannya di mahkamah, dan tajuk yang diberikan kepada beliau tiada kena mengena dengan kepentingan mahasiswa. Maka tidak wajar bagi Dato Seri Anwar Ibrahim mengheret mahasiswa UM dalam kancah politik peribadi beliau.  Bagi pihak MPPK, hal ini amat meragukan kami, adakah ianya bersifat ilmiah atau sekadar bersifat politik. Kami berpendapat, jika Dato Seri Anwar Ibrahim bercakap atas kapasiti membela nasib mahasiswa dengan mengemukakan tajuk yang lebih mesra mahasiswa, maka ini adalah lebih wajar. Bukan masuk ke kawasan kampus, dan bercerita kepada mahasiswa bahawa beliau tidak bersalah pada hakikatnya perbicaraan beliau di Mahkamah masih lagi berlangsung. 

MPPK juga, ingin menyatakan sokongan kepada slogan ‘freedom of speech’ yang dilaungkan oleh Mahasiswa seluruh negara secara khususnya dan rakyat Malaysia secara umumnya. Oleh itu, atas semangat ‘freedom of speech’ MPPK berpendapat keinginan sebahagian kecil Mahasiswa UM untuk mendengar pidato Dato Seri Anwar Ibrahim perlu ditunaikan. Namun demikian, MPPK mengkritik ketidakmatangan sebahagian pihak yang merempuh pagar UM pada malam kejadian. Kami menyokong pihak Universiti mengambil tindakan tegas ke atas mahasiswa yang terlibat. MPPK juga menyeru kepada politik matang yang berteraskan etika dan hujah ilmiah, bukan emosi dan jenayah. 

Ketidak tegasan pihak Universiti Malaya dalam menangani kes ini adalah amat mengecewakan. Institusi keilmuan tertua di Malaysia menjadi medan bagi ahli politik menegakkan kebenaran yang zahirnya masih lagi tidak jelas. Kebebasan bersuara yang seringkali dilaungkan oleh PMUM juga adalah tidak signifikan dengan program yang dianjurkan kerana jelas sekali hanya mahu menegakkan kepentingan politik peribadi seorang ahli politik.  Adalah lebih baik sekiranya mahasiswa memberikan tumpuan kepada aktivti akademik dan penguasaan ilmu, serta pembangunan sahsiah mereka. Kami berharap tiada sebarang aktiviti atau yang menyokong ideologi pemimpin tertentu yang dilakukan di dalam kampus. Kita berharap supaya perhimpunan atau aktiviti tidak menjurus untuk menyokong individu atau ideologi pemimpin tertentu tidak lagi diadakan di dalam kampus lebih-lebih dalam isu yang bertujuan untuk mempengaruhi golongan muda ini.  Ini hanya akan menjejaskan keharmonian dan pembelajaran mahasiswa di kampus sekaligus memberi kesan yang buruk kepada pembangunan sahsiah.

MPPK berpendapat sejak KPM dan KPT disatukan, banyak isu-isu yang melibatkan IPT kurang diberi perhatian. Kerajaan perlu seimbang dalam memberi fokus kepada IPT sama seperti institusi pendidikan lain. Kami juga menegaskan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia perlu bersikap tegas bagi memastikan pihak pengurusan Universiti masing-masing mengikut peraturan-peraturan penganjuran aktiviti yang termaktub dalam peraturan Universiti dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (pindaan) 2012 dan kaedah-kaedah tatatertib Universiti. 

MOHAMAD SHAFIQ KAMARUDDIN

PRESIDEN 
MAJLIS PERUNDINGAN PELAJAR KEBANGSAAN (MPPK)



No comments:

Post a Comment