08 November 2014

IBU BAPA MAHASISWA UM RELA ANAK DIBUANG UNIVERSITI KERANA ANWAR?





Oleh : JBJ

Lapan pelajar Universiti Malaya (UM) yang menyertai himpunan bersama Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan tidak kisah dibuang dari pengajian sekiranya Lembaga Tatatertib universiti membuat keputusan sedemikian.

7 November 2014 (Jumaat), Fahmi Zainol, Presiden MPP UM bersama 8 mahasiswa yang terlibat dengan program haram kampus yang asalnya Pidato Ketua Umum PKR akhirnya bertukar ganas menceroboh pintu pagar Universiti Malaya di panggil untuk menghadiri Prosiding Tatatertib UM membela diri.

Mereka sanggup dibuang universiti!

Khairol Najib Hashim, 22, yang juga Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), berkata dia tidak takut berdepan dengan lembaga tatatertib.

“Hakikatnya, kami jadi lebih berani dan lantang selepas menerima surat itu. Saya sedia menghadapi apa juga keputusan prosiding itu,” katanya.

Pelajar tahun tiga Sains Politik Islam yang berdepan dua tuduhan itu berkata, ibu bapanya agak risau pada mulanya tetapi selepas mendengar penjelasan mengenai kedudukannya dan kesukaran dihadapi pelajar, mereka bersikap lebih menyokong.

“Mereka kini faham. Mereka tahu mengapa kami buat semua ini dan kenapa kami berada dalam kedudukan sekarang. Saya beritahu mereka Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) tidak mengikut perlembagaan dan kita perlu menentangnya.

“Kita tidak sepatutnya menerima surat tatatertib itu. Ia melanggar hak kami sebagai pelajar mengikut Perlembagaan."

Pelajar tahun ketiga undang-undang Abraham Au, yang juga berdepan dua tuduhan berkata jika dia dibuang, dia akan menggunakan kes itu untuk merayu agar semakan kehakiman dibuat ke atas AUKU.

“Saya akan merayu kepada menteri (kerana dibuang) dan kemudian mohon semakan kehakiman.

“Ini akan jadi cara yang baik untuk membuang undang-undang tatatertib berdasarkan perlembagaan,” katanya.

Au berkata tuduhan yang dikenakan kepada lapan pelajar itu tidak adil kerana mereka tidak melanggar sempadan undang-undang.

“PMUM menyokong kebebasan akademik. Dan ini adalah kuliah akademik tetapi ia perlu berada dalam tekanan undang-undang. Saya rasa kami tidak melanggar undang-undang,” katanya.

Seperti ibu bapa Khairol, Au berkata ibu bapanya lebih menyokong selepas diberitahu mengenai susah payah pelajar dalam aktivisme di kampus.

“Kami berkorban untuk generasi masa depan, untuk kebebasan akademik dan banyak lagi. Ini tidak akan menghalang kami,” katanya.


AUKU 1971 Undang-undang Sah

Penulis hanya mampu tersenyum dengan kata-kata semangat mahasiswa di atas yang sebenarnya mereka tidak faham atau belum sedar betapa mereka diperalatkan. Mereka sanggup menggadai masa depan untuk mengambil risiko tidak menamatkan pengajian di universiti. Mereka lupa sebagaimana kes -kes terdahulu seperti ISA7, AUKU4 UKM dan Adam Adli yang akan memakan masa bertahun untuk selesai. Jadi penulis amat kasihan kepada ibubapa mahasiswa yang terlibat terpengaruh dengan kata-kata retorik anak-anak mereka mengenai AUKU. 

Umumnya Undang-Undang dan Peraturan Pelajar terdapat dalam tiga bentuk iaitu AUKU (Akta 30) ( Sekarang Pindaan 2012) yang digubal oleh Parlimen, Perlembagaan Universiti contoh USM (P.U.(A) 107/1998) dan Kaedah-Kaedah Tatatertib Universiti Contohnya Tatatertib Pelajar USM 1999(P.U.(A) 266/1999). Dalam kes UM Tatatertib Pelajar UM.

AUKU yang digubal parlimen merupakan panduan kepada perlembagaan universiti dan Kaedah-kaedah Tatatertib. Tetapi adakah pemimpin mahasiswa mengetahui dan boleh membezakan ketiga-tiga ini?

Pelaksanaan AUKU hari ini ialah melalui Kaedah-kaedah Tatatertib Universiti yang dibuat oleh universiti (Lembaga Pengarah Universiti). Di sinilah disenaraikan peraturan dan hukuman yang dijalankan oleh universiti seperti tatatertib am, larangan am, menghadiri kuliah, penggunaan teks kuliah, plagiat, kehadiran peperiksaan, kelakuan semasa peperiksaan, menganjurkan perhimpunan, pembesar suara, sepanduk, penerbitan, ,kegiatan di luar kampus, terlibat dalam pekerjaan, representasi, judi, minum arak , artikel bahan lucah, dadah dan racun, kebersihan dalam kampus, buat bising, pemeriksaan gangguan mental, tempat tinggal dalam kampus, pakaian pelajar lalulintas dan lain-lain lagi.

Ini bermakna kes-kes demonstrasi secara haram dan terlibat dengan pertubuhan haram boleh diambil tindakan oleh universiti melalui kaedah-kaedah tatatertib seperti kegiatan luar kampus dan representasi yang boleh ditafsirkan menjejaskan imej universiti di luar kampus. 

Dalam kes Adam Adli misalnya, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) melalui Panel Perbicaraan Tatatertib UPSI sebulat suara memutuskan bahawa Adam Adli digantung pengajian selama 3 semester mensabitkan kesalahan pelajar di bawah KAEDAH 3 (a) (i) dan (ii), BAHAGIAN II, TATATERTIB AM, KAEDAH-KAEDAH UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS ( TATATERTIB PELAJAR-PELAJAR) 1999 (Menjatuhkan nama Universiti/ mengganggu keamanan)

Dengan segala bukti melalui rakaman kamera litar tertutup, video, gambar-gambar perhimpunan dan saksi-saksi pada hari kejadian bukankah itu jelas dan terang tentang penglibatan mahasiswa UM itu. Apatah lagi jika program berkenaan terang-terangan membawa pemimpin ketua pembangkang masuk ke dalam kampus secara menceroboh pintu pagar! Yang menjadi perhitungan sekarang adakah UM berani mengambil tindakan atau tidak, kerana sejarah membuktikan UM tidak berani mengambil tindakan pada kes-kes begini. 

Kefahaman mengenai pelaksanaan AUKU mesti diperkasakan oleh pihak universiti terutama Bahagian Hal Ehwal Pelajar ( HEP). Banyak kes- kes pendakwaan tatatertib gagal dilaksanakan dengan baik sehingga apabila di bawa ke mahkamah boleh dicabar disebabkan tidak mematuhi prosedur dan bukti yang tidak mencukupi secara teknikal. 

Ada yang berkata AUKU adalah tidak relevan kerana bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia yang membenarkan hak bersuara dalam perkara 10. Inilah yang selalu digunakan oleh pemimpin mahasiswa. Barangkali inilah yang diberitahu kepada ibubapa mereka.  Namun jarang sekali yang habis membaca dan memahami perkara 10 itu. Misalnya

Perkara 10 (2) (a) apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau mustahak demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya

(b) ke atas hak yang diberi oleh perenggan (b) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau mustahak demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, atau ketenteraman awam; 

(c) ke atas hak yang diberi oleh perenggan (c) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau mustahak demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam atau akhlak.

Sesuatu yang amat jelas bahawa undang-undang seperti Akta Cetak Mencetak, Akta Hasutan, SOSMA, Akta Universiti dan Kolej Universiti adalah bagi tujuan kepentingan keselamatan persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam. Ia jelas boleh diluluskan oleh Parlimen. 

Oleh itu pemakaian terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti terpakai di Universiti adalah sah dan diterima perlembagaan persekutuan sebagai Perlembagaan Tertinggi Malaysia. Tidak kah itu jelas? Adakah penggunaan AUKU masih tidak berasas? 

Bersyukurlah bahawa AUKU 1971 telah dipinda ( pindaan 2012) untuk memberi sedikit kebebasan dalam beraktiviti. Tetapi masih kekal memelihara aspek melindungi keselamatan negara. Sebagaimana AUKU ( Pindaan) 2012

Aktiviti pelajar atau persatuan, pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar


15. (1) Tertakluk kepada subseksyen (2), 
seseorang pelajar Universiti boleh menjadi ahli mana-mana persatuan, pertubuhan, badan atau kumpulan orang, 
sama ada di dalam atau di luar 
Malaysia, termasuk mana-mana parti politik.

(2) Seseorang pelajar Universiti tidak boleh

(a)menjadi ahli mana- mana persatuan,  pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang menyalahi undang-undang, sama ada di dalam atau di luar Malaysia;

(b)menjadi ahli mana-mana persatuan, pertubuhan, badan atau kumpulan orang, yang bukannya suatu parti politik, yang ditetapkan oleh Lembaga sebagai tidak sesuai demi kepentingan 
            dan kesentosaan pelajar atau Universiti itu; atau

(c) terlibat dalam aktiviti parti politik di dalam Kampus.

(3) Seseorang pelajar Universiti dan mana- mana persatuan,
pertubuhan, badan atau kumpulan 
pelajar Universiti yang ditubuhkan 
oleh, di bawah atau mengikut Perlembagaan, tidak boleh 
menyatakan atau melakukan apa-apa jua yang 
boleh semunasabahnya ditafsirkan 
sebagai menyatakan sokongan kepada 
atau simpati dengan atau bangkangan terhadap —

(a)mana-mana persatuan, pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang menyalahi undang-undang, sama ada di dalam atau di luar Malaysia; atau

(b) mana-mana persatuan, pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang ditetapkan oleh 
Lembaga sebagai tidak sesuai demi kepentingan dan kesentosaan pelajar atau 
Universiti itu.

Jadi rempuh pagar, menceroboh universiti dengan membawa parti politik luar itu agaknya boleh diambil tindakan?


1 comment: