22 September 2013

Demi Melayu dan UMNO!

Pemilihan UMNO Pusat : 261 Borang Pencalonan Diterima

KUALA LUMPUR, 21 Sept – Pengurusan Ibu Pejabat UMNO hari ini mengesahkan telah menerima sebanyak 261 borang pencalonan termasuk dari sayap wanita, pemuda dan puteri dalam pemilihan UMNO kali ini, setelah tamat tempoh penyerahan borang pencalonan di Putra World Trade Center (PWTC) pada pukul 5 petang tadi.
Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, bagi jawatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, pengurusan ibu pejabat telah pun menerima sebanyak 76 borang pencalonan termasuk untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.
Bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO yang turut dipertandingkan telah menyaksikan tiada pencalonan lain di mana Datuk Seri Najib Tun Razak dan  Tan Sri Mahyuddin Yasin kekal menjawat dua jawatan tertinggi di dalam parti, apabila diumumkan menang tanpa bertanding.
Bagi jawatan Naib Presiden UMNO pula menyaksikan pertandingan enam penjuru manakala bagi jawatan Majlis Tertinggi UMNO pula menerima sebanyak 64 borang pencalonan.
rauf-yusoh-tajol-rosli-tengku-adnan-setiausaha-agung-umno-borang-pencalonan-pemilihan-umno-pusat-2013
Sebanyak 53 borang pencalonan telah diterima bagi pemilihan sayap Pergerakan Wanita UMNO yang turut menyaksikan pertandingan tiga penjuru bagi jawatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO. Bagi jawatan Naib Ketua Wanita pula menyaksikan pertandingan tiga penjuru dan bagi jawatan exco  sebanyak  44 borang pencalonan telah diterima.
Manakala bagi pemilihan sayap Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pula memperlihatkan jumlah pencalonan paling tinggi iaitu sebanyak 94 borang pencalonan bagi kesemua jawatan di dalam pergerakan sayap tersebut.
Bagi jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia menyaksikan pertandingan lima penjuru dan sebanyak empat pencalonan pula telah diterima bagi jawatan Naib Ketua. Manakala bagi jawatan exco Pemuda UMNO Malaysia pula, sebanyak 77 borang pencalonan telah diterima bagi jawatan tersebut.
Sementara itu, bagi Pergerakan Puteri UMNO Malaysia pula, sebanyak 38 borang pencalonan telah dihantar untuk pemilihan kepimpinan sayap tersebut. Jawatan Ketua Puteri menyaksikan pertandingan dua penjuru, manakala bagi jawatan Naib Ketua Puteri pula menyaksikan pertandingan tiga penjuru. Bagi jawatan exco Puteri, sebanyak 30 borang pencalonan telah diterima.
Senarai penuh bagi pencalonan bagi Ahli Majlis Tertinggi UMNO,  pergerakan Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda UMNO dan Pergerakan Puteri UMNO akan diumumkan selewat-lewatnya pada hari Rabu ini.

No comments:

Post a Comment