24 September 2013

Belakang Tabir: Sebagai Aktivis Mahasiswa


Belakang Tabir: Sebagai Aktivis  Mahasiswa

Ke manakah  Majlis  Perundingan  Pelajar  Kebangsaan (MPPK) Sekarang?





Pada tahun 2001 semasa  saya menjadi Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UMS (2000/2001)  kami sekumpulan Presiden/YDP Majlis Perwakilan Pelajar telah mengasaskan penubuhan MPPK pertama pada 3 April 2001 dihadapan YAB Dato’ Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi ketika itu sebagai Timbalan Perdana Menteri. Khairy Jamaluddin ketika itu sebagai Pegawai Khas YAB Timbalan Perdana Menteri adalah orang yang bertanggungjawab kepada pembentukan MPPK. MPPK ditubuhkan selepas beberapa syarat pemimpin IPTA ketika itu diterima. Di kala AUKU 1971 masih berkuatkuasa dan persepsi mahasiswa kepada kerajaan ketika itu tidak begitu baik tidak mudah MPPK ditubuhkan. Beberapa perkara dipersetujui antaranya ;

-MPPK adalah satu platform rasmi pemimpin mahasiswa menyuarakan pandangan & cadangan kepada kerajaan dibawah seliaan pejabat YAB Timbalan Perdana Menteri
-Ahli MPPK mempunyai imuniti kekebalan daripada AUKU 1971 semasa menjalankan tugas
-Mesyuarat pre council MPPK diadakan terlebih dahulu sebelum mesyuarat MPPK diadakan.
-Penerimaan keahlian MPPK dari pemimpin mahasiswa IPTS.
-Satu majalah/bulletin rasmi mengenai MPPK

Antara Presiden MPPK 2000/2001 terlibat dalam penubuhan MPPK adalah Mohd Fadzli Yusof (Presiden MPP UIAM), Mohd Fuad Mohd Ikhwan (Presiden UM), Mahadi Sukarno (Presiden MPP UKM) Mohd Nasri Muarat (UPM), Mohd Mushrif Abdullah (UTM), Ezwandy Idris (USM), Mohd Ikhfan Abd Rahim (KUITTHO), Che Ahmad Daud (UPSI), Nazrul Fazami Mohamed (UiTM), Nur Helmi Jamil (UUM), Awang Adih Tuah (UNIMAS), Rosli Jusoh (UNITEN) dan Zainal Abidin (MMU). Kalangan mereka sekarang ada  yang menjadi pegawai kerajaan, ahli politik, guru, penulis buku, penceramah moivasi, dan ahli perniagaan.

Penubuhan MPPK telah membantu membetulkan persepsi mahasiswa ketika itu kepada kerajaan kerana kerajaan sedia berbincang dan duduk bersama pemimpin mahasiswa untuk menyuarakan segala pandangan mereka. Antara isu MPPK pertama ialah isu PTPTN, peristiwa kampong Medan KL, penurunan harga komoditi Kepala Sawit yang memberi kesan kepada rakyat dan pelbagai isu lagi.

Isu yang mencabar kepada terjejasnya persepsi mahasiswa selepas MPPK ialah penahanan Mohd Fuad Mohd Ikhwan dalam ISA dalam tahun 2001. Untuk Mohd Fuad Mohd Ikhwan yang sekian lama saya tidak beritahu sesiapa ialah saya ada bertemu dengan YAB Dato’ Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi (TPM) di Hotel Shangri La Tanjung Aru Kota Kinabalu di bilik penginapannya ketika itu ( YAB Tan Sri Chong Kah Kiat Ketua Menteri Sabah ada bersama ketika itu). Saya melaporkan dan menyuarakan pandangan saya kepada Paklah agar dibebaskan segera saudara Mohd Fuad Mohd Ikhwan agar usaha sebelum ini seperti MPPK tidak terjejas. Pak Lah mendengar pendapat itu.

Ternyata kesannya sangat besar dan perlahan-lahan kerajaan dapat menarik perhatian pemimpin mahasiswa betapa kerajaan bersikap terbuka. Selepas Mahasiswa Aspirasi bermula dengan getir tahun 1999 semakin baik tahun 2004, cemerlang 2007 dengan menyapu kesemua IPTA hinggalah tahun 2008. Saya meneruskan usaha membimbing aktivis mahasiswa melalui agensi kerajaan BTN bermula 2002 hingga penghujung 2007 dan kemudiannya berkhidmat di tempat lain.

Alhamdulillah juga dalam ketika IPTA lain sukar mengadakan Mesyuarat dan program kemahasiswaan yang melibatkan penyatuan pemimpin IPTA/IPTS, (bertentangan AUKU ketika itu) saya bersama kepimpinan mahasiswa UMS dapat melaksanakan dua program penting yang menunjukkan kerajaan bersedia membantu mahasiswa jika pelaksanaannya dibuat dengan betul iaitu Mesyuarat Presiden/ Yang Dipertua IPTA/S Malaysia di adakan di Kota Kinabalu Sabah dan Persidangan Pemimpin-pemimpin  Pelajar ASEAN 2001 ( Asean University Student Leaders Conference 2001 (AUSLEA 2001).

Kemana MPPK sekarang? Apakah kerana selepas AUKU 1971 dipinda dengan memberi kebenaran mahasiswa berpolitik maka kelihatan suara mereka tidak didengar lagi. Apakah terlalu banyak NGO dan persatuan sekarang maka organisasi MPP tidak lagi berbisa?

Apakah Khairy Jamaludin yang dulunya adalah sebagai Pegawai Khas TPM mengumpul semua pemimpin mahasiswa IPTA/S dan sekarang adalah Menteri Belia & Sukan dan Ketua Pemuda UMNO akan memanfaatkan semula MPPK? yang mana beliau sebagai KP UMNO telah berjuang untuk kerajaan meminda AUKU agar membenarkan mahasiswa terlibat dengan politik dalam kampus sekarang.

Adakah ini hasilnya selepas pindaan itu?

Mungkin mereka masih sedang melihat dan merenung masa depan mereka.

Kepada Azrinizam Ibrahim bekas Presiden Majlis MPP UUM tahun 1999 yang membawa kemenangan Mahasiswa Aspirasi yang kini memulakan langkah di dalam Parti UMNO, semoga saudara Azrinizam memperolehi kemenangan sebagai Exco Pemuda UMNO. Kepakaran saudara dalam kepimpinan mahasiswaan di kampus, pertubuhan belia dan media massa tentu amat diperlukan oleh pemuda untuk membawa agenda “ BN/UMNO untuk orang muda”. Selamat berjuang.


www.mesejjj.blogspot.com

No comments:

Post a Comment