20 March 2013

Kenapa Kerajaan tidak tetapkan dasar penggunaan bio plastik?


Kenapa Kerajaan tidak tetapkan dasar penggunaan bio plastik?

Kali ini penulis memilih untuk menulis mengenai penggunaan bio plastik. Bukanlah bermakna penulis seorang anti penggunaan plastik. Betul juga adilkah kita untuk berkata, bahawa segalanya yang melibatkan plastik menjadi beban kepada alam sekitar? Namun kita juga harus bertanya mengapa industri Bio Plastik di negara kita belum berkembang? Penulis cuba mencari maklumat berkaitan plastik. Sebahagiannya penulis paparkan dalam tulisan ini.

Plastik dan Sampah

Berdasarkan kajian yang dibuat oleh Japan International Corporation Agency (JICA), jumlah sisa pepejal yang dihasilkan oleh penduduk negara ini akan meningkat dari tahun ke tahun dan menjelang tahun 2020, sisa pepejal yang dihasilkan oleh penduduk Malaysia dianggarkan sebanyak 30,000 tan sehari.

Anda boleh membayangkan jika sampah itu adalah plastik kerana sifatnya tidak terdegredasi iaitu sukar diuraikan. Pelupusan plastik mengambil masa beratus-tahun lamanya untuk mereput dan ia bergantung pada jenis dan kategori plastik berkenaan. Paling mudah, jika seorang individu menggunakan hampir lapan keping beg plastik dalam seminggu, tentulah mencerminkan betapa banyaknya kalau sebulan dan setahun.  Yang pasti, semakin banyak plastik dikeluarkan, semakin terjejas ruang persekitaran bumi.

Plastik terhasil dari polimer yang terbentuk dari polimerisasi molekul-molekul kecil (monomer) hidrokarbon yang membentuk rantai yang panjang dengan struktur yang kaku. Plastik merupakan senyawa sintesis dari minyak bumi (terutama hidrokarbon rantai pendek) yang dibuat dengan reaksi polimerisasi molekul- molekul kecil (monomer) yang sama , sehingga membentuk rantai panjang dan kaku dan akan menjadi padat setelah temperatur pembentukan nya.

Plastik memiliki titik didih dan titik beku yang beragam , tergantung dari monomer pembentuknya. Monomer yang sering digunakan adalah etena (C2H4),  propena (C3H6),  styrene  (C8H8), vinil kloridanylon dan karbonat (CO3).

Hampir semua plastik sukar untuk diuraikan. Plastik yang memiliki ikatan karbon rantai panjang dan memiliki tingkat kestabilan yang tinggi, sama sekali tidak dapat diuraikan oleh mikroorganisme. Memburukkan lagi keadaan, bahan-bahan plastik ini juga bukan sahaja mendatangkan kesan buruk  kepada alam sekitar malah penggunaannya mampu memberi kesan buruk kepada kesihatan manusia.


Bio Plastik vs Plastik

               i.       Plastik sangat mudah di dapati seperti bekas makanan dan minuman dan beg plastik
      ii.         Para peniaga makanan dan kedai runcit masih memilih untuk menggunakan plastik tersebut kerana harganya yang lebih murah dan ianya mampu memaksimumkan keuntungan.
   iii.    masyarakat pula cenderung menggunakan pembungkus plastik kerana ia lebih praktikal dan mudah
         iv.    bahan plastik  terurai bio sepenuhnya amat mahal . Selain harganya, kekuatan plastik bio terurai ( Biodegradable) agak rendah dan agak sensitif terhadap suhu dan kelembapan. 
     v.    Pihak pengilang kurang berjaya untuk menarik pengguna menggunakan plastik biodegradasi disebabkan harganya yang dibawah jangkauan pasar raya atau peniaga biasa.

Apakah kempen kitar semula,  pengurangan penggunaan plastik dan penghasilan produk Bio Plastik kita gagal?

Pertama- kita perhatikan kementerian yang terlibat;

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan-  Melibatkan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Negara. Objektif Dasar Pengurusan Sisa Pepajal Negara antara yang penting;

-       -  Pengurangan sisa pepejal isi rumah, komersial, perindustrian,
keinstitusian, awam dan pembinaan  melalui 3R
-      - Pemilihan teknologi yang telah terbukti, mampu bayar
dari segi capex & opex serta mesra alam
-      -  Menjamin pemeliharaan alam sekitar dan kesihatan awam

Setakat ini tiada kajian khusus dibuat untuk mengukur dan mengesahkan kadar kitar semula kebangsaan yang terbaru. Namun dokumen  RMKKe-9 menyatakan kadar kitar semula rakyat Malaysia  adalah sekitar 5% setahun dan jangkaan kitar semula penduduk Malaysia pada tahun  2020 adalah sebanyak 22%. 


Kementerian tenaga, teknologi hijau dan air (keTTHA).
Antara objektif Dasar Teknologi Hijau Negara yang  berkaitan

     i.     Untuk membantu pertumbuhan dalam industri Teknologi Hijau dan meningkatkan sumbangannya kepada ekonomi negara
   ii.      Untuk meningkatkan keupayaan bagi inovasi dalam pembangunan Teknologi Hijau dan meningkatkan daya saing dalam Teknologi Hijau di persada antarabangsa 
  iii.      Untuk memastikan pembangunan mapan dan memulihara alam sekitar untuk generasi akan datang
  iv.     Untuk meningkatkan pendidikan dan kesedaran awam terhadap Teknologi Hijau dan menggalakkan penggunaan meluas Teknologi Hijau


Sektor Air dan Pengurusan Sisa
Menerima pakai Teknologi Hijau dalam pengurusan dan penggunaan sumber air, rawatan kumbahan, sisa pepejal dan kawasan pelupusan sampah

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri –
Melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di bawah Akta Penyelarasan Perindustrian, 1975  bertujuan untuk mengekalkan pembangunan dan pertumbuhan yang teratur dalam sektor perkilangan negara ini. Di bawah Akta ini, syarikat-syarikat perkilangan yang mempunyai dana pemegang saham RM2.5 juta ke atas atau menggaji 75 atau lebih pekerja sepenuh masa dikehendaki memohon lesen pengilang untuk kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). Permohonan Pembangunan Pelaburan Malaysia sebuah agensi di bawah MITI yang diberi tugasan menggalak dan menyelaraskan pembangunan perindustrian di Malaysia. 

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan- Mengadakan Kempen Pengurangan Plastik di pasar raya.

Masing-masing kementerian mempunyai matlamat dan tugasan yang tersendiri. Ada yang meningkatkan industry, ada yang menghasilkan teknologi baru, ada yang melihat pengurusan sisa pepejal untuk mengurang pencemaran, dan kempen-kempen kepada masyarakat. Semuanya mempunyai matlamat dan objektif yang hampir sama

Kedua  - NGO
pandangan Forum Plastik Malaysia (MPF), sebuah badan yang melindungi kepentingan industri plastik tempatan. MPF yang ditubuhkan 2005, merupakan hasil gabungan dua persatuan iaitu Kumpulan Pengeluaran Resin Plastik-Persatuan Petrokimia Malaysia serta Persatuan Pengeluar Plastik Malaysia (MPMA).

Kenyataan MPF mengenai Penggunaan Plastik dan Plastik Biodegredasi

 i.     - MPF tidak bersetuju dengan pengharaman penggunaan beg plastik kerana ia tidak   menangani punca asas ia itu masalah sikap manusia yang membuang sampah merata-rata dan ia juga membebankan pengguna.
ii.   - Beg plastik kebanyakan nya dibuat daripada polyethylene(PE) dan menurut life cycle assessment (LCA) atau kitaran penilaian hayat, beg plastik PE adalah lebih mesra alam dan mampan berbanding beg plastik mudah urai dan beg kertas.
iii. - Tidak ada yang memudaratkan berkaitan plastik, jika ia gunakan secara bijak
iv.  - Plastik bukanlah isu alam sekitar hanya kerana adanya mitos yang menyatakan bahan tersebut merupakan bahan yang mengambil masa terlalu lama untuk terurai.
v.    - Dalam satu kerja-kerja menggali di tapak pelupusan sampah di New York, AS , ada kes menunjukkan bahawa sehelai kertas akhbar pada tahun 1950-an masih tertanam kemas di bawah tanah tanpa tanda-tanda akan berlaku penguraian.
vi.  - Sekiranya berlaku penguraian sekalipun, impak ke atas alam sekitar lebih memudaratkan memandangkan proses tersebut menghasilkan gas. Dalam keadaan atau kehadiran oksigen (aerobik), hasil penguraian membentuk air apabila gas oksigen berkenaan berkenaan bertindak balas dengan hidrogen dan membentuk gas karbon dioksida. Ini kerana bahan organik seperti kertas, tumbuh-tumbuhan dan haiwan mengandungi unsur hidrogen dan karbon. Seperti diketahui, gas karbon dioksida ialah gas rumah hijau yang menyebabkan kemudaratan kepada alam sekitar.
vii. - Lebih parah lagi apabila proses penguraian berlaku tanpa kehadiran oksigen (anaerobik) yang mana proses berkenaan menyebabkan hidrogen dan karbon bertindak balas dan membentuk gas metana yang lebih mudarat lebih 22 kali berbanding gas karbon dioksida (CO2)
viii.       -Kajian oleh Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA), AS menunjukkan tidak berlaku proses penguraian sempurna di tapak pelupusan sampah termasuk bahan organik lain.
ix.  -"Penyelidikan terkini menunjukkan bahawa kertas di tapak pelupusan sampah tidak mengurai atau mengurai tidak sepantas yang diharapkan plastik. Malah tidak mengurai sempurna kerana ketiadaan air, udara, cahaya serta elemen lain yang mencukupi."
x.    -Jika ada persepsi negatif menyatakan bahawa bahan plastik mengurai dalam tempoh 1,000 tahun atau lebih tetapi daripada segi positif ia mengurangkan munculnya gas metana.
xi.  -Kira-kira 40 peratus plastik adalah untuk pembungkusan makanan. Dan ini membantu penyimpanan makanan , mengurangkan pembaziran makanan dan mengurangkan berat bungkusan. Kecekapan makanan dalam pembungkusan makanan plastik tidak boleh dibandingkan berbanding bahan lain.
xii.Di Eropah kata beliau, sebanyak 50 peratus makanan di rantau berkenaan dibungkus dengan plastik. Ironinya, dengan ketiadaan plastik, kuantiti pembuangan makanan meningkat 158 peratus dan pembuatan meningkat kepada 108 peratus. 



    Ketiga- Pandangan Ahli Akademik mengenai Penggunaan Plastik.
Prof. Madya Dr. Zelina Zaiton Ibrahim,
Ketua Jabatan Alam Sekitar, Fakulti Pengajian Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM)

Langkah mengurangkan penggunaan beg plastik adalah dengan menggantikannya dengan penggunaan beg mesra alam atau beg hijau adalah wajar kerana penggunaan beg plastik untuk membeli-belah dan tujuan lain dengan berleluasa telah menyumbang kepada kesan negatif terhadap ekologi dan masalah kesihatan masyarakat hari ini.

Pelupusan plastik mengambil masa beratus-tahun lamanya untuk mereput dan ia bergantung pada jenis dan kategori plastik berkenaan. Kita kena faham bahawa bahan plastik ini mengambil masa sekurang-kurangnya 100 hingga 500 tahun untuk lupus sekiranya ditanam manakala impak pencemaran lebih besar jika dibakar.

Pengeluaran, pembuangan dan pereputan beg plastik juga bukan semudah yang disangka. Walaupun sebahagiannya dilihat sudah hancur, tetapi bahan-bahan kimia masih terdapat dalam bentuk habuk yang stabil.

"Saya sendiri tertanya-tanya bilakah negara kita akan menetapkan peraturan seperti dilakukan oleh beberapa negara di benua Eropah yang mewajibkan pengguna membawa beg sendiri yang digelar beg hijau sebagai ganti beg plastik ketika membeli-belah”

"Seperti di England, Ireland, Bangladesh dan Amerika Syarikat, kerajaannya telah memperkenalkan undang-undang bagi penggunaan beg mesra alam," jelasnya berhubung cara memperluaskan penggunaan beg mesra alam kepada para pengguna.

Ibarat “Ditelan mati emak,diluah mati bapa” .

Sektor pembuatan berpotensi membawa pulangan yang positif kepada pendapatan negara. Pada tahun 2009, industri pembuatan menyumbang sebanyak 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Eksport barangan pembuatan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 23.2 peratus kepada RM283.4 bilion dalam tempoh tujuh tahun pertama, iaitu dari Januari hingga Julai pada 2010.

Nilai jualan bagi industri pembuatan pada September 2011 pula, mencatatkan peningkatan sebanyak RM7.2 bilion kepada RM50.89.8 bilion berbanding dengan RM43.6 bilion pada September 2010. Peningkatan ini dijanakan oleh pertumbuhan nilai jualan oleh 92 industri atau 80.0 peratus. Lima industri utama yang mengalami peningkatan nilai jualan ialah pembuatan produk petroleum bertapis (49.1 peratus), pembuatan kimia perindustrian asas lain kecuali baja dan sebatian nitrogen (20.4 peratus), pengilangan semula getah dan pemprosesan susu getah (49.2 peratus), pembuatan plastik dalam bentuk utama dan daripada getah tiruan (32.9 peratus) dan pembuatan peranti semikonduktor (8.8 peratus).
Sektor pembuatan di jangka berkembang pada kadar 5.6 peratus setahun dan menyumbangkan 28.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2020, seperti yang digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Ketiga (PIP3).

Industri plastik mencatatkan angka-angka memberangsangkan daripada sudut ekonomi, bagaimanapun pencinta alam sekitar menganggap kehadiran bahan polimer tersebut lebih memudaratkan.

Angka eksport menunjukkan pertumbuhan industri plastik ialah antara 10 dan 15 peratus dalam tempoh sepuluh tahun.

Ini termasuk catatan bahawa Malaysia merupakan pengeksport filem terbesar Asia dan pengeluar serta pengekport bungkusan dan beg plastik di Asia dan pasarannya sehingga ke Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat (AS) serta Jepun.

Di Malaysia, industri plastik merekodkan perolehan RM16.24 bilion pada 2008, peningkatan sebanyak 5.2 peratus berbanding dengan perolehan RM15.44 bilion pada 2007. Nilai eksport pula mengalami peningkatan sebanyak 11.6 peratus, daripada RM8.33 bilion pada 2007 kepada RM9.30 bilion pada 2008. Pembuatan produk plastik menyumbang sebanyak 21.8 bilion, iaitu sejumlah tiga peratus kepada nilai output kasar pada tahun 2009 daripada 730.0 bilion nilai output kasar keseluruhan yang disumbangkan oleh kumpulan pembuatan negara. Nilai eksport bagi pembuatan produk getah dan plastik pula sejumlah 21.3 peratus dengan nilai 13 289.0 juta pada tahun yang sama.

Pada 2009, produk plastik meningkat 2.4 peratus dan hal ini disokong oleh prestasi kukuh segmen pembungkusan pengguna. Pengeluaran produk tiupan teracu plastik misalnya, meningkat 0.6 peratus bagi tempoh Januari hingga Julai 2009 disebabkan oleh permintaan yang tinggi bagi bahan pembungkusan daripada industri makanan dan minuman di pasaran domestik.

Nampaknya Kerajaan dan masyarakat di Negara ini tiada pilihan lain sekiranya kerajaan mahu menguatkuasakan undang-undang pengurangan plastik di negara ini. Pencinta Alam yang menyuarakan tentang kebimbangan pencemaran perlu menghadapi penggiat industri plastik seperti  Forum Plastik Malaysia (MPF), Kumpulan Pengeluaran Resin Plastik-Persatuan Petrokimia Malaysia dan Persatuan Pengeluar Plastik Malaysia (MPMA).

Apakah industri plastik Negara boleh terjejas?

Berdasarkan angka industri plastik itu nampaknya tidak mungkin industri plastik boleh terjejas jika sekiranya kempen atau larangan penggunaan beg plastik hanya terhad di pasar raya. Sedangkan beg plastik masih digunakan secara meluas di pasar malam, pasar tadi, pasar basah, kedai runcit, kilang dan pelbagai premis perniagaan.

Pelbagai produk berasaskan plastik terus mendapat permintaan. Oleh itu tidak mungkin industri plastik menghadapi masa depan yang gelap jika plastik tidak digunakan lagi di pasar raya.


Situasi Menang-menang

Saban hari malah setiap tahun kita mendengar pelbagai penciptaan barangan Plastik Biodegredasi yang mesra alam. Kenapa kita tidak mempromosi atau meningkatkan penggunaannya? Kenapa kerajaan tidak menetapkan Dasar Penggunaan 2 % penghasilan Bio Plastik di negara ini? Bukan menyaingi industri plastik konvensional tapi meningkatkan lagi alternatif penghasilan plastik yang mesra alam.  Ini sudah tentu dapat meningkatkan industri ini selain memberi insentif cukai menggalakkan syarikat meneroka dan mengguna pakai teknologi hijau disamping meningkatkan keyakinan insitusi perbankan memberi pinjaman bagi projek berkaitan teknologi hijau.

Antara penghasilan plastik baru (sebahagian yang ada)

Universiti Sains Malaysia

·      Penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) tampil dengan inovasi terkini iaitu penghasilan  plastik terbio-urai menggunakan bahan buangan daripada buah-buahan tropika.
·       Bukan sekadar mudah terurai, plastik yang dikenali sebagai Fruitplast itu juga sangat unik kerana dihasilkan daripada kulit buah-buahan tropika seperti pisang, rambutan serta kulit dan jerami cempedak.
·    Ketua penyelidik Fruitplast, Profesor Hanafi Ismail berkata, idea menghasilkan plastik daripada bahan buangan itu timbul setelah melihat kepada potensi pasaran plastik terbio-urai yang dianggarkan meningkat sehingga 30% setiap tahun.
·     USM  telah membangunkan kajian untuk menghasilkan plastik terbio-urai menggunakan bahan buangan bagi mengurangkan kos namun ia tetap berdaya saing dan setanding dengan mutu plastik komersial sedia ada. sila klik
·       USM juga telah menghasilkan bio plastik daripada sisa kelapa sawit melalui penghasilan bakteria. Plastik yang dihasilkan pula terurai dalam masa singkat sahaja iaitu tiga bulan hingga setahun berbanding plastik kimia yang mengambil masa bertahun-tahun lamanya untuk terurai. Sila Klik

Di China, kanji digunakan untuk tujuan tersebut manakala di AS, mereka menggunakan tepung jagung. Brazil pula memanfaatkan gula untuk penghasilan bioplastik memandangkan negara berkenaan kaya dengan tebu.


Bio Plastik dari ubi kayu

ICBP- D09, Jalan Tanjung A/4, Free Trade Zone, 
Port of Tanjung Pelepas, 81560 Johor, Malaysia.

Bukankah di Malaysia telah ada kilang penghasilan Bio Plastik dari ubi kayu? Anda boleh melayari http://www.icbp.com.my/ . seperti kata pengusahanya;

1.    Resin bio ICBP mesra alam sekitar. Faedah untuk alam sekitar dengan mengurangkan kesan karbon hasil penggunaan bioplastik mendorong kerajaan Malaysia menyediakan insentif dan undang-undang yang mempercepatkan penerimaan bioplastik.
2.    Teknologi moden telah menemukan kita dengan resin (damar) plastik daripada kanji  jagung, ubi kentang dan ubi gajah. Bahan-bahan asas ini mudah hancur di dalam tanah.
3.    Harga atau kos pengeluaran bioplastik terbiodegradasikan  bukan satu halangan jika dipertimbangkan kesan ‘positif’ terhadap alam. (tidaklah mahal sebagaimana digemburkan). Jadi kerajaan perlu mengalak dan bantu pengilang tempatan untuk membuat produk plastik terbiodegradasikan daripada kanji dan bahan yang bersesuaian
4    Bio resin ICBP tidak berasaskan makanan staple food
5.    ICBP ialah syarikat pertama di rantau ini menerima sijil berprestij AIB-Vincotte Certification (tanda pengesahan ‘OK Biobased’) yang mengesahkan ICBP memiliki keupayaan teknologi yang setaraf dengan pembuat resin berasaskan bio yang terkenal dari negara seperti Amerika Syarikat, Eropah, Jepun dan negara lain.
6.    Persijilan OK Biobased yang diterima membuka masa depan ICBP untuk menjadi perintis pembuat resin bioplastik daripada ubi gajah.sila klik

antara produk bio plastik ICBP


Apakah kerajaan rugi dengan menyediakan suasana “menang-menang”? bukankan ini juga dapat memberi rakyat peluang untuk membuat pilihan? Memelihara alam sekitar dan mengurangkan “demand” persatuan penggiat plastik yang mempertahankan   kepentingan mereka? Bukan mudah membentuk sikap masyarakat dari segi pembuangan sisa. Bukankah lebih baik juga dalam masa kita meningkatkan pendidikan rakyat kita dapat mengurangkan penghasilan plastik yang mencemar alam dan dapat pula membina alternatif bio plastik? Bukankah kita telah membuktikan negara kita mampu menghasilkan produk bio plastik berkualiti tinggi sehingga diiktiraf dunia sebagaimana ICBP itu?

Apakah cara menang-menang ini satu mitos? seperti mitosnya plastik yang tidak boleh "terurai"..

2 comments:

  1. kena jaga juga mereka yang terlibat dalam Industri plastik. Apa nasib mereka nanti.

    ReplyDelete
  2. Azali said

    Kebaikan penggunaan bahan plastik mesra alam adalah jelas. Mereka yang terlibat di dalam industri plastik konvensional yang perlu berhijrah ke arah pengeluaran produk plastik mesra alam. Lagi pun, berapa ramai bumiputra yang terlibat dalam pengeluaran barangan plastik konvensional ini? boleh bilang dengan jari. Yang terlibat memasarkan produk plastik konvensional ni memanglah agak ramai.

    ReplyDelete