26 December 2010

Menguji Gelombang Rakyat

Pakatan Rakyat perlu 'gelombang rakyat' untuk tumbangkan Barisan Nasional. PKR, PAS dan DAP tidak akan mampu untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) secara bersendirian, kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

“Itulah semangat atau intipati yang ingin kita tiup dan sampaikan dalam Konvensyen Kebangsaan Pakatan yang akan diadakan pada 19 Disember ini dengan Pulau Pinang sebagai tuan rumah selepas Selangor menganjurkannya buat kali pertama tahun lalu”.

Justeru pembangkang menggunakan misi 'Gelombang Rakyat' sebagai strategi utama dalam menawan Kerajaan Persekutuan pada PRU 13. Persoalannya, apakah Gelombang Rakyat yang dimaksudkan itu? Apakah strateginya?

Apakah dengan menghalau penduduk-penduduk Kampung Buah Pala atas nama pembangunan dan kemajuan menggambarkan Gelombang Rakyat itu? Begitu juga menghalang peniaga-peniaga Melayu untuk berniaga di bangunan Komtar?. Di satu negeri lain usaha SYABAS mengadakan Tabung Budi untuk membantu rakyat kurang berkemampuan turut dikecam habis-habisan. Apakah semua ini menggambarkan misi Gelombang Rakyat?

Pakatan Rakyat percaya bahawa tsunami politik seperti tahun 2008 dapat diulangi lagi sekiranya komponen Pakatan Rakyat bersatu. Isu-isu dalaman PR dilihat tidak menggugat kerjasama PR. Namun apakah semudah itu BN boleh ditumbangkan?.

Perubahan strategi BN dan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan YAB Dato’ Sri Mohd Najib sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negara dengan gagasan 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan telah berjaya mengukuhkan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

BN telah meniupkan gelombang rakyatnya apabila tiga siri pilihan raya kecil iaitu Parlimen Hulu Selangor, Batu Sapi dan Dun Galas, BN telah memperolehi kemenangan selesa. Apakah Pakatan Rakyat lupa dengan Gelombang Rakyat BN untuk merampas semula negeri-negeri yang pernah dimilikinya? Rakyat tentu menilai dua tahun pemerintahan Pakatan Rakyat masih banyak lagi janji-janji yang belum ditunaikan. Cabaran utama PR ialah mempertahankan kemenangan yang sedia ada. Lantaran itu PR sanggup melakukan segala cara.

Pakatan Rakyat sedang menguji strategi Gelombang Rakyatnya dengan memperalatkan emosi rakyat. Emosi marah, susah hati dan rasa teraniaya dimainkan sebaiknya. Memperalatkan isu air Selangor dan penggantungan 4 wakil rakyat parlimen PR baru –baru ini telah membangkitkan sentimen rakyat. Dalam hal penggantungan Dewan Rakyat, rakyat telah dikelirukan seolah-olah BN bersalah sedangkan memang terdapat peraturan mesyuarat yang telah ditetapkan boleh digunakan.

Penggantungan wakil rakyat sama ada dalam persidangan DUN atau Dewan Rakyat adalah perkara biasa. Malah di negeri-negeri yag dikuasai Pakatan Rakyat ada ahli DUN BN yang digantung. Tidak pula wakil rakyat ini berdendang seluruh negara mengenai penggantungan mereka.

Apakah perlunya berdemontrasi di Parlimen sedangkan parlimen adalah pembuat undang-undang tertinggi? Apa perlunya menyaman speaker? Seperti kata seorang menteri hanya penguam bodoh saja yang akan berbuat demikian!.

Marilah kita sama-sama menunggu ‘Gelombang Rakyat’ mana yang benar-benar berkuasa. Apakah Gelombang Rakyat BN atau Gelombang Rakyat PR. Ujian yang paling dekat ialah kerusi DUN Tenang. Tunggu dan lihat!

09 December 2010

Menyemarakkan Suara Aktivis Mahasiswa

Jabdin bin Juhat

Seperti minggu lepas, minggu ini saya masih memilih menulis mengenai pemimpin muda dalam universiti. Saya berharap dengan cara ini pemimpin muda dapat menyemarakkan suara mereka sebagai aktivis mahasiswa di negara ini.

Penulis mengucapkan tahniah kepada Universiti Sains Malaysia (USM) yang merealiasasikan Parlimen Mahasiswa dalam universiti. Pada 23 Oktober 2010 lalu, Majlis Perwakilan USM telah memulakan persidangan Parlimen Mahasiswa atau Dewan Perundingan Pelajar di Universiti Sains Malaysia (MDPP) dengan membahaskan 19 usul bukan saja baik untuk USM tetapi baik juga untuk mahasiswa di negara ini. Kerana anda sebagai pemimpin mahasiswa, maka 22 November 2010 isu Parlimen Mahasiswa di bahaskan dalam Parlimen Malaysia.

Ini adalah bukti kerajaan sentiasa memberi peluang kepada mahasiswa di negara ini untuk bersuara jika saluran itu digunakan sebaiknya. Selain paltform Majlis Perundingan Pelajar kebangsaan yang ditubuhkan pada 2001, Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) pindaan 2008 turut membenarkan terlibat dalam persatuan bukan politik. Parlimen Mahasiswa tentunya membuka lembaran baru kepada suatu bentuk kerjasama mahasiswa dengan pengurusan universiti di negara ini bahawa AUKU tidak menghalang mereka untuk berpolitik.

Idea asal Parlimen Mahasiswa dikemukakan oleh Naib Canselor USM, Profesor Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dalam ucap utamanya pada Kongres Mahasiswa 2003. Semasa Kongres Mahasiswa 2003, penulis adalah seorang dari urus setia pelaksana bersama dengan HEP USM. Sebagai Naib Canselor Universiti yang paling lama beliau mengotakan saranannya dan merintis jalan sebelum universiti lain mengadakannya. Kongres Mahasiswa ini juga yang pertama menjemput pemimpin pembangkang PAS bersama dalam kongres.

Semoga akan datang universiti lain juga akan membuka platform ini dalam kampus masing-masing. Bukankah bagus melihat pemimpin muda kita berdebat secara terbuka, bebas dan berhemah dalam satu paltform yang diperakui oleh universiti dan kerajaan tanpa meminta simpati dengan pihak luar?.

Parlimen Mahasiswa atau Dewan Perundingan Pelajar mencerminkan kebijaksanaan pemimpin mahasiswa dalam memperjuangkan suara anak muda di negara ini. Mereka tidak rasa terkongkong tetapi mencari ruang yang sesuai menyampaikan suara mereka kepada pihak pimpinan negara. Tidak perlulah terikut-ikut dengan suara-suara memansuhkan AUKU yang diperjuangkan oleh kumpulan mahasiswa anti-establishment sejak 39 tahun lalu. (sejak AUKU diperkenalkan tahun 1971).

Sebagai pemimpin mahasiswa masa yang ada dalam kampus adalah singkat. Tiga atau empat tahun dalam pengajian dan 1 tahun sahaja menjadi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Dalam tempoh yang singkat itu mana mungkin kita sempat mengubah semuanya. Wakil rakyat memainkan peranannya di kawasan pun memerlukan 5 hingga 10 tahun sebagai wakil rakyat untuk membawa pembangunan kepada kawasannya. Tugas pemimpin mahasiswa sebenar ialah menghabiskan pengajian dan dalam masa yang sama menyalurkan suara mereka kepada pemimpin yang akan membawanya dalam Dewan Rakyat untuk dibahaskan. Dunia sebenar adalah di luar sana selepas tamat pengajian.



Hari ini bekas pemimpin mahasiswa yang kuat mengkritik kerajaan dan menentang AUKU pun ada yang jadi pemimpin kerajaan. Kerana mereka tahu itulah dunia sebenar.




Sinar harian, 9 Disember 2010 (Khamis)
* Penulis merupakan bekas Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UMS tahun 2000


04 December 2010

Bersediakah Gerakan Mahasiswa Kampus Di Label?

Jabdin bin Juhat

Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 akhirnya telah berjaya dipinda pada tahun 2008 dengan menggantikan Seksyen 15 seperti berikut;

Seseorang pelajar Universiti boleh menjadi ahli mana-mana persatuan, pertubuhan, badan atau kumpulan orang, sama ada atau tidak ia ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis, sama ada ia di dalam atau di luar Universiti, dan sama ada ia di dalam atau di luar Malaysia, selain—

(a) mana-mana parti politik, sama ada di dalam atau

di luar Malaysia;

(b) mana-mana pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang menyalahi undang-undang, sama ada di dalam atau di luar Malaysia; atau

(c) mana-mana pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang telah ditetapkan oleh Menteri, selepas berunding dengan Lembaga, secara bertulis kepada Naib Canselor sebagai tidak sesuai demi kepentingan dan kesentosaan pelajar atau Universiti itu.

(2) Suatu pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar Universiti

Sebelum akta ini dipinda tiadalah ruang kebebasan seperti di atas. Nampaknya usaha pelbagai pihak ke arah untuk merealisasikan akta ini dipinda semula ataupun dimansuhkan dikemudian hari mungkin akan tercapai. Bukankah ini harapan pihak yang menyokong itu? Kata mereka dengan cara ini soal hak mahasiswa untuk bersuara dan berorganisasi yang dijamin Perlembagaan selain mematangkan demokrasi akan berjaya dicapai. Terburailah kebekuan dan kejumudan minda mahasiswa selama ini yang telah merantai mahasiswa sejak tahun 1970an lagi.

Tun Dr Mahathir Mohamad (semasa Menteri Pelajaran), mengaku beliaulah yang memperkenalkan AUKU. Alasannya ketika itu walaupun negara sudah merdeka lebih 15 tahun (ketika itu) tetapi bilangan kelulusan daripada universiti tidak ramai, terutamanya di kalangan orang Melayu. Tidaklah sihat bagi Malaysia jika dari rakyat berbilang kaumnya jumlah Melayu dan bumiputera lain yang berkelulusan universiti sangat berkurangan. Samada mereka mendapat ijazah universiti atau tidak bergantung kepada kegigihan mereka menumpu sepenuh masa untuk menguasai ilmu melalui proses-proses pembelajaran ala universiti.

Kata Tun Mahathir lagi “ Kita dapati penuntut Melayu amat berminat dengan kegiatan politik. Mereka suka melibatkan diri dengan demontrasi jalanan dan lain-lain aktiviti politik yang memakan masa mereka di universiti. Dengan ini tidak dapat tidak tumpuan mereka kepada penguasaan ilmu tentu kurang. Amatlah merugikan mereka dan masyarakat Melayu jika mereka gagal. Apakah kerana mereka tidak boleh berdemonstrasi dan lain-lain maka mereka akan kurang berpengetahuan dalam bidang politik; mereka akan jadi robot? Tidak juga. Mereka boleh ada forum perbahasan dalaman atau antara universiti, dan mereka boleh mendapat pakar yang tidak punyai kepentingan”

Apakah tindakan dan pandangan Tun Dr Mahathir ini tidak relevan lagi kini?. Apakah pindaan AUKU sekarang masih belum mencukupi? Benar hak seorang mahasiswa untuk bersuara dan berorganisasi yang dijamin Perlembagaan tetapi jangan lupa perlembagaan juga menetapkan untuk kepentingan, kebaikan dan keselamatan negara keseluruhannya hak-hak tersebut boleh disekat antara lain melalui Akta Universiti dan Kolej 1971. (jika untuk mahasiswa di kampus).

Ada pula seorang bekas Menteri Pelajaran nilainya berubah berdasarkan kepentingannya, semasa mudanya sebagai pemimpin mahasiswa atau sebelum menjadi orang kerajaan begitu kuat menentang AUKU. Tetapi semasa menjadi Menteri atau orang kerajaan tidak pula berusaha meminda atau memansuhkan AUKU 1975. Selepas keluar dari kerajaan beliau kembali menentangnya. Bolehkah anda menyemak kenyataan ini sendiri dalam Utusan Malaysia 28 Ogos 1990? “Saya tidak pernah campurtangan dalam hal urusan universiti, tetapi banyak yang bercakap mengenai kebebasan atau autonomi universiti yang mahu mengenepikan dasar pendidikan negara. Mereka mahu kebebasan sepenuhnya. Ini merbahaya”.

Berbalik kepada kebebasan berpolitik di dalam universiti. Di atas kertas memang terlalu ideal menyatakan mahasiswa harus diberi beri kebebasan sepenuhnya dan tidak akan dipengaruhi oleh anasir luar yang boleh mengancam keselamatan negara. Hari ini pun sudah ada dua kumpulan yang sering bertentangan di kampus dilabelkan sebagai Mahasiswa Pro Kerajaan dan Mahasiswa Pro Pembangkang bersaing menarik sokongan dikalangan mahasiswa.

Ada pihak yang tidak bersetuju dengan ’label’ Pro Kerajaan dan Pro Pembangkang yang kononnya adalah satu petanda yang tidak sihat kepada suasana kampus walaupun semua pihak tahu kumpulan mana yang menyokong kerajaan dan kumpulan mana yang menyokong pembangkang. Apa sekali pun dari gelaran yang digunakan dari Pro Kerajaan kepada Pro Aspirasi atau Pro Pembangkang kepada Mahasiswa Idealis (kini bertukar Pro Mahasiswa) misinya tetap sama iaitu untuk memenangkan kumpulan masing-masing. Jika label ini tidak wujud apakah salah media (media kerajaan dan pembangkang) yang melaporkan dua kumpulan ini menguasai kampus sejak tahun 1999 lagi? Cukup berbangga kumpulan ini menceritakan kemenangan mereka.

Semasa AUKU sekarang tidak dipinda pun label ini sudah digunakan maka di masa akan datang label ini akan berubah dengan lebih jelas lagi berasaskan parti-parti di negara ini apabila hasrat pindaan AUKU, membenarkan mahasiswa dalam politik kepartian dicapai. Pensyarah juga begitu ada dua kumpulan yang masing-masing bersaing. Pengalaman saya semasa belajar di universiti dan menjadi pemimpin mahasiswa semua ini berlaku. Apakah anda boleh menafikannya?

Walaubagaimanapun kerajaan telah menetapkan pendiriannya apabila Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pengajian Tinggi menyatakan bahawa kabinet membuat keputusan untuk tidak membenarkan mahasiswa terlibat dalam politik kepartian. Katanya, Seksyen 15, Akta Universiti & Kolej Universiti yang dipinda baru-baru ini, sudah memadai dalam konteks membenarkan mahasiswa mengambil bahagian dalam politik kepartian selepas mendapat kebenaran naib canselor.

Beliau menegaskan, keputusan itu tidak sama sekali menghalang mahasiswa daripada mengetahui atau mengikuti perkembangan politik tanah air melalui pelbagai cara.

Kenyataan ini sudah cukup jelas mengenai pendirian kerajaan. Kepada mana-mana pihak yang tidak berpuas hati (khususnya penyokong kerajaan) sebaiknya sebarang kenyataan lain yang dibincangkan perlulah dibawa terus kepada pucuk pimpinan atasan sebelum membuat kenyataan terbuka di media massa yang boleh mengundang tafsiran negatif mengenai pendirian kerajaan.


Artikel ini telah disiarkan dalam Sinar Harian pada 2 Disember 2010.