09 December 2010

Menyemarakkan Suara Aktivis Mahasiswa

Jabdin bin Juhat

Seperti minggu lepas, minggu ini saya masih memilih menulis mengenai pemimpin muda dalam universiti. Saya berharap dengan cara ini pemimpin muda dapat menyemarakkan suara mereka sebagai aktivis mahasiswa di negara ini.

Penulis mengucapkan tahniah kepada Universiti Sains Malaysia (USM) yang merealiasasikan Parlimen Mahasiswa dalam universiti. Pada 23 Oktober 2010 lalu, Majlis Perwakilan USM telah memulakan persidangan Parlimen Mahasiswa atau Dewan Perundingan Pelajar di Universiti Sains Malaysia (MDPP) dengan membahaskan 19 usul bukan saja baik untuk USM tetapi baik juga untuk mahasiswa di negara ini. Kerana anda sebagai pemimpin mahasiswa, maka 22 November 2010 isu Parlimen Mahasiswa di bahaskan dalam Parlimen Malaysia.

Ini adalah bukti kerajaan sentiasa memberi peluang kepada mahasiswa di negara ini untuk bersuara jika saluran itu digunakan sebaiknya. Selain paltform Majlis Perundingan Pelajar kebangsaan yang ditubuhkan pada 2001, Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) pindaan 2008 turut membenarkan terlibat dalam persatuan bukan politik. Parlimen Mahasiswa tentunya membuka lembaran baru kepada suatu bentuk kerjasama mahasiswa dengan pengurusan universiti di negara ini bahawa AUKU tidak menghalang mereka untuk berpolitik.

Idea asal Parlimen Mahasiswa dikemukakan oleh Naib Canselor USM, Profesor Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dalam ucap utamanya pada Kongres Mahasiswa 2003. Semasa Kongres Mahasiswa 2003, penulis adalah seorang dari urus setia pelaksana bersama dengan HEP USM. Sebagai Naib Canselor Universiti yang paling lama beliau mengotakan saranannya dan merintis jalan sebelum universiti lain mengadakannya. Kongres Mahasiswa ini juga yang pertama menjemput pemimpin pembangkang PAS bersama dalam kongres.

Semoga akan datang universiti lain juga akan membuka platform ini dalam kampus masing-masing. Bukankah bagus melihat pemimpin muda kita berdebat secara terbuka, bebas dan berhemah dalam satu paltform yang diperakui oleh universiti dan kerajaan tanpa meminta simpati dengan pihak luar?.

Parlimen Mahasiswa atau Dewan Perundingan Pelajar mencerminkan kebijaksanaan pemimpin mahasiswa dalam memperjuangkan suara anak muda di negara ini. Mereka tidak rasa terkongkong tetapi mencari ruang yang sesuai menyampaikan suara mereka kepada pihak pimpinan negara. Tidak perlulah terikut-ikut dengan suara-suara memansuhkan AUKU yang diperjuangkan oleh kumpulan mahasiswa anti-establishment sejak 39 tahun lalu. (sejak AUKU diperkenalkan tahun 1971).

Sebagai pemimpin mahasiswa masa yang ada dalam kampus adalah singkat. Tiga atau empat tahun dalam pengajian dan 1 tahun sahaja menjadi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Dalam tempoh yang singkat itu mana mungkin kita sempat mengubah semuanya. Wakil rakyat memainkan peranannya di kawasan pun memerlukan 5 hingga 10 tahun sebagai wakil rakyat untuk membawa pembangunan kepada kawasannya. Tugas pemimpin mahasiswa sebenar ialah menghabiskan pengajian dan dalam masa yang sama menyalurkan suara mereka kepada pemimpin yang akan membawanya dalam Dewan Rakyat untuk dibahaskan. Dunia sebenar adalah di luar sana selepas tamat pengajian.



Hari ini bekas pemimpin mahasiswa yang kuat mengkritik kerajaan dan menentang AUKU pun ada yang jadi pemimpin kerajaan. Kerana mereka tahu itulah dunia sebenar.




Sinar harian, 9 Disember 2010 (Khamis)
* Penulis merupakan bekas Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UMS tahun 2000


No comments:

Post a Comment