09 November 2010

Orang muda yang menjiwai rakyat

Jabdin bin Juhat

1.        24 Oktober yang lalu sepasang suami isteri yang hidup merempat di bawah jambatan di susur Lebuh Raya Metramac ke Lebuh Raya Maju Expressway di Sungai Besi telah berjaya dibantu. Bukan sahaja Hazmain Abdul Jalil, 28, dan isterinya, Siti Faiza Abu Bakar, 27, bersama anak sulung mereka berusia setahun mendapat rumah malah turut bertemu dengan keluarga setelah enam tahun berpisah.

2.       Sangat menyayat hati. Tindakan Biro Aduan Komuniti UMNO dan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seputeh tentunya menggambarkan betapa menjiwai rakyat itu perlu didahulukan oleh golongan pemimpin muda.

3.      Tidak kira siapapun golongan muda itu sama ada dari NGO atau parti, Jika beginilah sikap pemimpin muda maka rakyat tentu memberi penilaian yang baik. Apakah ini yang diistilah ’merakyatkan pemuda’itu?. Tentulah banyak caranya bergantung apa yang golongan pemimpin muda itu lakukan. Seperti kata pepatah ‘dimana ada kemahuan disitu ada jalan’

4.       Bertindak ‘real’ adalah satu jawapan kepada bagaimana rakyat menerima pemimpin muda. Mereka tidak perlu bertindak sebagai wakil rakyat untuk melaksanakan tanggungjawabnya. Kerana pemimpin muda secara tidak langsung adalah ‘wakil’ kepada wakil rakyat di kawasannya. Sebagai ‘wakil’ kepada wakil rakyat tentulah mereka memainkan peranan yang sama.

5.      Dengan ini wakil rakyat tidaklah merasa terancam dan tergugat. Bukankah rakyat menilai dengan baik siapakah layak meneruskan legasi kepimpinan kawasan?

6.      Demikianlah pula wakil rakyat akan dapat menumpukan tugasnya di DUN atau Parlimen sebagai ‘pembuat undang-undang’ memastikan undang-undang atau dasar negara yang mereka buat dilaksanakan memberi keutamaan kepada rakyat. Tidaklah perlu mereka ponteng dewan sehingga merugikan rakyat. ‘Wakil’ kepada wakil rakyat dan wakil rakyat perlu saling bekerjasama atas matlamat mengukuhkan organisasi. Jika ada isu yang perlu disampaikan kepada wakil rakyat maka disinilah orang muda memaklumkan kepada wakil rakyat mengenai isu yang mahu dibawa.

7.     Apa yang pemimpin muda perlu lakukan ialah memperhalusi ‘marketing’ organisasi. Program sampai di golongan sasaran dan media massa dapat menujukkan semua program dengan cukup berkesan. Apakah anda tahu kesan mengenai berita sepasang suami isteri yang hidup merempat di bawah jambatan seperti di awal artikel ini? Ia memberi persepsi yang amat baik sekali. Mengapa tidak selalu diperbanyakkan lagi cara seperti itu? Keluarga yang miskin tidak berumah di luar bandar, gelandangan yang merempat di kaki lima, dan lain-lain lagi.

8.       Bagi anak muda yang giat di kampus mereka harus membuka minda dari hanya terikat dengan isu Akta Universiti dan Kolej Universiti yang dikatakan mengongkong kegiatan politik ini. Janganlah kerana melalui tingkap pandangan ‘Seksyen 15' yang melarang penglibatan politik maka pemimpin mahasiswa menghukum diri sendiri dari melaksanakan program yang baik untuk masyarakat. Apakah kebebasan politik yang dimahukan adalah atas tafsiran “politik kepartian”? Apakah mahasiswa di negara ini mahu diukur dari segi penglibatan dalam parti UMNO, PAS, PKR, DAP dan lain-lain lagi? Jika itu tafsirannya bukankah ia telah dan sedang berlaku dalam kampus?.

9.       Masih banyak program bakti siswa dan khidmat masyarakat yang perlu dlakukan oleh pemimpin mahasiswa di luar bandar sana. Jika pemimpin muda dalam parti atau NGO tidak berminat memasuki kampung atau bandar melaksanakan program bakti siswa maka mereka harus melakukannya. Siapa tahu jika mereka menjadi pemimpin sikap ‘menjiwai rakyat’ ini akan membantu mereka memahami kehendak rakyat.

10.      Adalah lebih baik jika pemimpin muda mempromosikan semangat 1Malaysia dengan semangat membuat kebaikan. Jangan sekali-kali menyakiti orang lain walaupun tujuannya untuk membuat kebaikan (diistilahkan ‘nonmaleficence’). Apabila berlaku dilemma moral yang berkonflik antara memberi autonomi, membuat kebaikan berterusan, larangan menyakiti yang datang serentak, maka utamakanlah dahulu moral menjauhi perbuatan menyakiti.
11.     Jika ini boleh difahami apapun isu bersifat sensitif berbentuk perkauman akan dapat ditangani dengan baik tanpa memikirkan kepentingan yang boleh menjejaskan perpaduan kaum. Jika generasi lama tidak boleh menjadi contoh apakah pemimpin muda tidak boleh menjadi pemandunya?.

12.    Golongan muda mesti menjadikan budaya ‘turun padang’ dan semangat membantu sebagai budaya organisasinya jika mahu rakyat membuat penilaian mengenai generasi mudanya. Memanfaatkan media dalam menyampaikan mesej membuat kebaikan tentu akan membawa manfaat kepada semua pihak. Jika rakyat mengucapkan terima kasih tentulah rakyat akan sentiasa bersama .

 
* artikel ini telah disiarkan dalam ruangan cetusan Sinar Harian pada 4  November 2010.




















No comments:

Post a Comment