20 November 2010

Mesej Janji Pembangunan BN Masih Relevan

Jabdin bin Juhat
jabdin79@yahoo.com

1.    Strategi BN menggunakan mesej pembangunan dalam kempen pilihan raya kecil baru – baru ini dan jentera BN terus turun ke akar umbi menemui pengundi ternyata memberi impak yang baik dan seterus memberikan kemenangan kepada BN. Segala aduan kesusahan dan permohonan pembangunan rakyat dapat diselesaikan segera.

2.     Bagi kawasan yang telah dimenangi oleh wakil rakyat pembangkang, tentunya rakyat dapat membuat penilaian secara jelas ataupun terperinci iaitu sejak hampir 2 tahun kemenangan wakil rakyat pembangkang tersebut, apakah sumbangan dan pembangunan yang telah wakil rakyat ini laksanakan ? Apakah janji-janji pilihan raya sebelum ini telah ditunaikan secara terus menerus atau sekadar perlancaran sahaja ?.

3.     Semua janji – janji BN telah diterjemahkan oleh pengundi pada 4hb November 2010 yang lalu, apabila Barisan Nasional (BN) telah berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Batu Sapi dengan majoriti yang lebih besar iaitu 6,359 undi walaupun terpaksa berdepan dengan dua calon dari parti lawan iaitu Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Calon BN, YB. Datin Linda Tsen Thau Lin telah memperoleh 9,773 undi mengalahkan calon SAPP, Datuk Yong Teck Lee dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ansaari Abdullah.

4.    Dengan keputusan ini, bermakna rakyat di Batu Sapi masih setia bersama BN dengan menterjemahkan dengan memberikan jumlah majoriti yang lebih besar kerana percayakan janji – janji Kerajaan BN. Kemenangan ini juga membuktikan rakyat Sabah masih berdiri teguh di belakang kerajaan BN. Tentulah kejayaan ini diharap dapat diteruskan dalam PRU ke13 akan datang.

5.   Begitu juga di Pilihanraya Kecil DUN Galas, Barisan Nasional juga mendapat kemenangan bergaya dan telah berjaya merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dengan majoriti 1,190 undi. Peratusan keluar mengundi yang meningkat iaitu 83 peratus (kenaikan 1.1 peratus pada 2008) membuktikan betapa rakyat di Galas mahukan perubahan segera.

6.  Ramai yang berpendapat, selepas sahaja BN kehilangan majoriti dua pertiganya di Parlimen tahun 2008, arus politik pembangunan yang digunakan oleh BN selama ini sudah hilang taringnya dan hampir tidak relevan lagi. Kata mereka, rakyat telah maju dan mahukan perubahan dengan wakil rakyat yang boleh menyelesaikan ‘masalah rakyat’ dengan serta merta. Tidak kurang juga pengundi yang berniat memberi pengajaran kepada pemimpin terdahulu mengenai ‘kuasa rakyat’.

7.   Apa yang pasti kemenangan BN di Parlimen Batu Sapi dan Dun Galas diharap tidak melekakan pemimpin BN. Usaha berterusan membantu menangani masalah rakyat, mendalami kemahuan rakyat, mendekati keperluan rakyat dan menjiwai hasrat rakyat amat perlu diteruskan jika ingin menawan hati rakyat untuk mengundi BN.

8.    Rakyat sudah boleh menerima gaya kepimpinan YAB. Dato’ Sri Mohd Najib, sejak beliau mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada tahun 2008. dengan membawa mesej ‘Gagasan 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’, telah memandu negara ke satu landasan yang betul dan dikemaskan dengan pelbagai dasar-dasar pembangunan yang baru dibawa oleh beliau.

9.    Namun, tugas – tugas Kerajaan BN sekarang haruslah menunaikan segala janji BN dalam pilihan raya kecil yang dimenangi oleh BN sebelum ini serta di pilihanraya Umum yang lepas (2008) iaitu membangunkan ekonomi dan meningkatkan taraf kehidupan rakyat. Dua pilihanraya kecil terdahulu iaitu di Bagan Pinang, dan Hulu Selangor, rakyat telah memerhatikan BN berkeupayaan menunaikan janjinya. Projek keperluan rakyat seperti jalan dan perumahan rakyat telah menjadi bukti yang sangat jelas.

10.  Di Galas, Projek Perumahan Rakyat Gua Musang, 1500 unit dalam anggaran RM180 juta tentu dinantikan oleh rakyat. Begitu juga di Batu Sapi, Projek Perumahan Rakyat Lupak Meluas, Sandakan, 500 unit yang diumumkan oleh YAB. Timbalan Perdana Menteri akan menjadi harapan kepada golongan miskin setinggan dan tidak berumah di Sandakan untuk mempunyai rumah yang lengkap dengan api dan air. Projek sekolah, jalan, air, bekalan elektrik dan lain-lain lagi semuanya adalah keperluan rakyat yang harus juga ditangani dengan baik oleh Kerajaan BN jika inginkan rakyat terus menyanyangi BN.

11.   Sehingga kini, ada segelintir rakyat masih menguji dan memerhatikan apakah janji-janji dalam pilihan raya (PRU12) ini akan ditunaikan oleh BN yang memerintah ? Berdasarkan rekod sebelum ini, ternyata BN mampu melakukannya dan masih terus melaksanakan janji – janji pilihanraya secara berperingkat tetapi berterusan. Peluang ini (melaksanakan janji – janji semasa PRU12) perlu diambil tindakan segera oleh pemimpin BN sebelum PRU ke 13 nanti.

12.    Semua ini memberi pengajaran kepada kita betapa sikap pengundi atau yang dikenali sebagai rakyat itu sering berubah memilih kerajaan yang mereka sukai. Pengundi kadangkala menilai calon pilihan raya, wakil rakyat, mahukan pembangunan dan lain-lain lagi. Pilihan umum ke 12, pembangkang mendabik dada dan mengatakan bahawa mereka telah berjaya merobek sokongan terhadap BN sehingga beberapa negeri jatuh ke tangan mereka. Mereka namakan sebagai Tsunami Politik. Hal seumpama ini sering kali berlaku dimana-mana kerajaan di dunia.

13.    Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menerima tamparan hebat apabila Parti Demokrat kalah dalam pemilihan Dewan Perwakilan kepada Parti Republikan menyifatkan kekalahannya teruk dalam pilihan raya separuh penggal yang berlangsung pada 5 November lalu. Disebabkan pengundi kecewa terhadap pemulihan ekonomi AS yang perlahan maka Barack Obama dan Parti Demokrat menjadi korban.

14.    Tentunya masih dalam ingatan kita apabila Negara Jepun yang dipimpin oleh Parti Demokratik Liberal (LDP) yang memerintah Jepun sejak tahun 1955 tumbang kepada Parti Demokratik Jepun (sebuah parti yang cenderung kepada haluan sederhana-kiri). LDP bukan sebuah parti yang tidak berjasa kepada rakyatnya sehingga berjaya membawa negara matahari terbit itu menjadi kuasa besar ekonomi dunia. Namun LDP telah mengalami kekalahan paling teruk yang dialami oleh parti pemerintah dalam sejarah moden Jepun.

15.   Begitu juga dengan Negara Sweden, antara negara maju di dunia. Taraf hidup dan jangka hayat penduduknya adalah nombor satu dalam dunia iaitu 79 tahun untuk lelaki dan 83 untuk perempuan. Pendapatan perkapitanya AS$50,940 (Bank Dunia, 2008). Rakyatnya boleh memilih antara Parti Alliance of Sweden (menggabungkan empat parti iaitu Parti Morderat, Parti Christian Democrat, Parti Liberal dan Parti Centre) atau Parti Social Democrat. Namun di Sweden pengundi tetap tidak memberi undi majoriti dua pertiga kepada parti yang membentuk kerajaan.

16.   Apakah sebenarnya yang rakyat mahu? Sama ada negara itu maju atau mundur, rakyat tetap membuat pilihan mereka. Apakah DUN Galas yang berjaya dirampas kembali dan Parlimen Batu Sapi Sandakan Sabah yang berjaya dipertahankan menunjukkan BN telah berjaya menunjukkan apa yang rakyat mahu sekarang? Apakah dua kawasan yang bermajoriti pengundi cina - Pulai (83.86%) dan Kampung Baru (52.6%) di DUN Galas menunjukkan peningkatan jumlah undi kepada BN bermaksud pengundi cina di Malaysia sudah kembali kepada BN?

Bagaimana dengan pilihan raya umum ke 13?. Sama-samalah menyelami jiwa rakyat.


* artikel ini telah disiarkan dalam ruangan Selayang Pandang, Sinar Harian. (Ruangan penulis setiap hari khamis)

No comments:

Post a Comment