20 November 2010

Dimana suara orang muda kampus?

Jabdin bin Juhat

1.       Semasa penulis menjadi pemimpin mahasiswa di kampus suatu ketika dulu terdapat desakan kuat dari pemimpin mahasiswa agar Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 dipinda ataupun dimansuhkan atas sebab kononnya telah melesukan mahasiswa dalam suara politik. Ironisnya mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) yang tidak terpakai akta ini pun jauh lebih lantang menyuarakan rasa bantahan.

2.      Kini Akta Universti dan Kolej Universiti telah dipinda (2008) dan undang-undang ini telah membenarkan pelajar bersekutu dengan atau menjadi ahli sesuatu pertubuhan, persatuan atau organisasi sama ada dalam atau luar negara kecuali badan politik. Ini pun masih lagi ditentang yang kononnya masih menyekat kebebasan mahasiswa.

3.    Apa yang dimahukan ialah kebebasan untuk berpolitik dan berparti. Kononnya jika ini diberi oleh kerajaan maka hilanglah kebekuan minda yang selama ini dikongkong. Mari kita imbas pula pada tahun 2001 apabila kerajaan bersedia untuk berkongsi idea dengan pemimpin mahasiswa apabila bersedia untuk menubuhkan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) sebagai platform mahasiswa menyuarakan pandangan kepada kerajaan.

4.     Tun Abdullah Badawi yang ketika itu sebagai Timbalan Perdana Menteri telah bersedia menerima tuntutan mahasiswa dalam menubuhkan MPPK dengan beberapa pindaan seperti berikut:

a) Majlis akan ditubuhkan sebagai satu jawatankuasa khas di bawah naungan Jemaah Menteri.

b) Keputusan dan aktiviti-aktiviti majlis akan diliputi buletin khas dan laman web.

c) Mesyuarat Pre-Council akan diadakan dua minggu sebelum Mesyuarat Majlis untuk menentukan agenda mesyuarat Majlis. Mesyuarat Pre-Council akan melibatkan pihak urusetia dan Presiden-presiden MPP IPT terlibat

d.) Ahli MPPK yang dilantik oleh TNC HEP akan dipilih selepas rundingan bersama Presiden MPP

e.) Bilangan ahli daripada kolej-kolej swasta dikurangkan daripada 10 menjadi lima ahli.

f.) Mesyuarat Majlis akan disusuli dengan persidangan akhbar yang akan dipengerusi oleh YAB Pengerusi Majlis.

g.) Tempoh lantikan bagi semua ahli Majlis ialah satu tahun.

h) Ahli Majlis diberi kekebalan atau ‘immunity’ daripada Akta Universiti dan Kolej Universiti dalam menjalankan tugas.

5.   lapan tuntutan yang diterima oleh pemimpin kerajaan sudah mencerminkan betapa pemimpin mahasiswa mempunyai peranan yang besar kepada negara jika ia dilaksanakan dengan cara yang betul. Dalam Mesyuarat MPPK pertama pada 8 Mei 2001 bersama YAB Timbalan Perdana Menteri ketika itu telah membincangkan isu PTPTN, kemiskinan, masyarakat Felda, pendidikan, gerakan mahasiswa, peristiwa Kampung Medan dan lain-lain lagi ketika itu.

6.  Begitulah ketika mahasiswa menyuarakan pandangan mereka pada platform yang diwujudkan kerajaan. Kemanakah MPPK sekarang? Apakah halatujunya? Mengapa tiada suara pemimpin muda kampus mengenai isu kemiskinan bandar, banjir yang menimpa Kelantan, Perlis dan Kedah? Apakah usaha membantu?

7.   Penulis lebih tersenyum apabila gerakan mahasiswa yang menamakan dirinya Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (GAMIS) akan membawa 2000 orang mahasiswa ke DUN Galas untuk berkempen bagi menerangkan demokrasi kepada rakyat. Seperti “Ibu ketam yang mengajar anaknya berjalan”. Tiada pula kedengaran usaha membawa 2000 orang mahasiswa ke Kelantan, Perlis dan Kedah untuk membantu mangsa banjir?

Fikirkanlah cara perjuangan anak muda kita.

artikel ini telah disiarkan dalam ruangan Selayang Pandang, Sinar Harian. (Ruangan penulis setiap hari khamis)

1 comment:

  1. Salam Perjuangan,

    Saya ingin mengucapkan SYABAS kepada Tuan yang berjaya menghasilkan sebuah blog yan begitu mantap dengan artikel2 yang bernas. Saya memang mengikuti perkembangan blog Tuan sepanjang masa.

    Di harap dapat memberi tunjuk ajar mengenai pengendalian artikel yang mantap..

    Saya tlhpun linkkan blog Tuan di dalam blog pilihan di blog saya..

    Harap Tuan juga dapat linkkan blog saya bagi memperkenalkan kepada pengunjung di blog anda..


    SEKIAN, SALAM KASIH IKHLAS DARI,

    Melayu CinDia
    Blogger GELOMBANG RAKYAT.

    http://gelombang-rakyat.blogspot.com/

    ReplyDelete