24 October 2010

Mempertahankan Hak Tanpa Menyinggung Sesiapa

1.     Penulis amat bersetuju agar perbincangan mengenai hal-hal sensitif di bawa dalam perbincangan tertutup tanpa perlu memainkan di media massa utama. Amatlah bagus parti-parti komponen BN membuat keputusan sedemikian.

2.      Cara terbaik mempertahankan sesuatu 'hak' adalah dengan mengambil sikap tenang dan menerangkan secara bijaksana mengenai hak semua pihak. Dalam konteks negara Malaysia pelbagai kaum kita kembali merujuk kepada "Perlembagaan Negara" yang jelas semua dipaparkan mengenai hak bumiputera dan kaum-kaum lain.

3.        Hak yang tertulis perlulah dijelaskan dengan tenang. Janganlah beremosi sehingga menyinggung kaum lain. Memang benar semua hak Melayu/ bumiputera telah tertulis tapi tidak semua yang memahaminya dengan baik. Oleh yang demikian marilah kita menjelaskan sama dengan penuh tenang dan sabar.Anggaplah bahawa golongan itu baru belajar atau sedang cuba memahami Perlembagaan Negara yang dibina oleh nenek moyang kita suatu ketika dulu.

4.)      Percayalah tiada siapa yang dapat lari dari Perlembagaan Negara. Semua jelas terkandung dalam Perlembagaan Negara mengenai kedudukan Raja, agama, bahasa, kewarganegaraan, hak kebebasan, Hak Istimewa Melayu/ Bumiputera. Tiada siapa yang dibelakangkan.

5.)      Malah dalam perkara 153 (perkhidmatan awam : Perkara 153 (2,3 dan 4), bidang ekonomi : Perkara 153 (6), bidang pelajaran: Perkara 153 (2,3 dan 4) dan Perkara 89 dan 90 (Tanah Rezab Melayu), kaum lain tetap mendapat manfaatnya. Tiada siapa di negara ini yang tidak dibenarkan menjadi pegawai kerajaan, belajar di institusi pengajian tinggi, dan boleh menjadi kaya dalam perniagaan. Tiada sesiapa di Malaysia ini yang tidak boleh menjadi kaya.  "Dimana ada kemahuan disitu ada jalan".

6.)       Lantaran itu Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang menetapkan 30 peratus ekuiti bumiputera pun tetap menguntungkan kaum lain. Tiada siapa boleh menafikan rangkaian perniagaan antara Melayu dan bukan melayu telah menguntungkan semua pihak. Sebuah syarikat yang mendapat kontrak pembinaan misalnya bekalan diperolehi daripada 'hardware' bukan Melayu ataupun dilaksanakan secara JV. Oleh yang demikian apakah salah bagi bumiputera menuntut terus dikekalkan 30 peratus dalam Dasar Ekonomi Baru yang belum dicapai?.

7.)          Cabaran utama kita ialah menjelaskan semua ini kepada generasi bukan Melayu secara bijaksana tanpa perlu menyinggung perasaan mereka. Apatah lagi kita perlu berhadapan dengan 'ultra kiasu' yang sengaja tidak mahu memahami perkara yang telah tersurat dalam Perlembagaan Negara.

No comments:

Post a Comment