08 August 2010

Menghormati Perlembagaan Negara


1.) Jika ada golongan “Ultra Kiasu” (penulis mengambil istilah Dr Redhuan Teh Abdullah) yang mempersoalkan mengenai hak keistimewaan Melayu/Bumiputera yang termaktub dalam Perkara 153, Perlembagaan Negara janganlah dilayan sangat sehingga diletakkan dalam muka depan surat khabar. Golongan “ultra kiasu” ini bukanlah golongan yang tidak membaca Kandungan Perlembagaan Negara. Malah mereka amat tahu asas Perlembagaan Negara sepertimana dalam jadual. Percayalah tindakan golongan “ultra kiasu” hanyalah suatu tindakan berbentuk “POPULIS” untuk menarik perhatian bahawa “wujudnya mereka di situ”.

2.) Hadapilah dengan tenang dan menjawablah dengan bijaksana tanpa mengeruhkan keadaan sehingga melahirkan bahasa-bahasa yang mungkin menyinggung perasaan antara kaum. Anggaplah bahawa golongan itu baru belajar atau sedang cuba memahami Perlembagaan Negara yang dibina oleh nenek moyang kita suatu ketika dulu. Mungkin di Sekolah dulu kandungan Perlembagaan Negara tidak di sampaikan dengan cara kefahaman yang benar jadi tugas kita ialah menyampaikan semula secara bijaksana. Paling penting anda menyampaikan mesej yang senang kepada golongan generasi baru untuk mereka memahaminya.

3.) Tiada siapa yang dapat lari dari Perlembagaan Negara. Semua jelas terkandung dalam Perlembagaan Negara mengenai kedudukan Raja, agama, bahasa, kewarganegaraan, hak kebebasan, Hak Istimewa Melayu/ Bumiputera. Tiada siapa yang dibelakangkan. Malah dalam perkara 153 (perkhidmatan awam : Perkara 153 (2,3 dan 4), bidang ekonomi : Perkara 153 (6), bidang pelajaran: Perkara 153 (2,3 dan 4) dan Perkara 89 dan 90 (Tanah Rezab Melayu), kaum lain tetap mendapat manfaatnya. Tiada siapa di negara ini yang tidak dibenarkan menjadi pegawai kerajaan, belajar di institusi pengajian tinggi, dan boleh menjadi kaya dalam perniagaan. "Dimana ada kemahuan disitu ada jalan". Dasar Ekonomi Baru (DEB) misalnya tetap menguntungkan semua kaum di negara ini.

4.) Jalan terbaik ialah kita menghormati Perlembagaan Negara kita. Marilah kita hayati semangat Satu Malaysia dan saling bertolak ansur diantara pelbagai kaum.

1 comment: