04 August 2010

Meminda AUKU untuk melahirkan pemimpin pelapis Negara?

Ketika penulis bersama hampir 1000 orang Pemimpin Mahasiswa Apirasi Malaysia (Bekas MPP seluruh Negara) berkumpul di Port Dickson suatu ketika dulu dalam kepimpinan Tok Pa, kami sebulat suara mempertahankan agar AUKU tidak dipinda sewenangnya apatah lagi memansuhkannya. Jika dipindapun maka perlulah sesuatu yang boleh mempertahankan mahasiswa daripada ancaman dan anasir luar.

Bermula dari situ pelbagai usaha dilakukan sehinggalah penulis masih teringat dengan seorang rakan penulis seorang peguam yang mencadangkan pindaan AUKU seumpama ini;- Katanya;

Seksyen 15 AUKU yang ada hari ini masih kabur dan lemah dari segi melaksanakannya. Seksyen 15 AUKU yang menjadi punca penentangan mahasiswa sepatutnya dipinda seperti ini;


“ Tiada mana-mana pelajar atau pertubuhan pelajar, tanpa izin bertulis daripada Naib Canselor dan dibenarkan oleh Perlembagaan Universiti boleh menjadi ahli atau menyertai

(a) Mana-mana parti yang berasaskan politik;
(b) Mana-mana pertubuhan bukan kerajaan;
(c) Mana-mana persatuan samada yang berdaftar di bawah
Pendaftar Persatuan atau tidak;
(d) Mana-mana kesatuan sekerja; atau
(e) Mana-mana organisasi tetap atau sementara di luar kampus Universiti;

Jika AUKU dipinda seperti diatas maka pelajar yang terlibat dengan kegiatan luar adalah lebih jelas.

Namun hari ini parlimen telah meminda AUKU pindaan 2008 seperti berikut;-

Penggantian seksyen 15

8. Akta ibu dipinda dengan menggantikan seksyen 15 dengan seksyen yang berikut:

Pelajar atau pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar bersekutu dengan persatuan, dsb.


15. (1) Seseorang pelajar Universiti boleh menjadi ahli mana-mana persatuan, pertubuhan, badan atau kumpulan orang, sama ada atau tidak ia ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis, sama ada ia di dalam atau di luar Universiti, dan sama ada ia di dalam atau di luar Malaysia, selain—


(a) mana-mana parti politik, sama ada di dalam atau
di luar Malaysia;
(b) mana-mana pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang menyalahi undang-undang, sama ada di dalam
 atau di luar Malaysia; atau
(c) mana-mana pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang telah ditetapkan oleh Menteri, selepas berunding dengan Lembaga, secara bertulis kepada Naib Canselor sebagai tidak sesuai demi kepentingan dan kesentosaan pelajar atau Universiti itu.
(2) Suatu pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar Universiti

Ternyata kerajaan mengambil jalan tengah untuk membenarkan terlibat dengan pelbagai pertubuhan dalam dan luar Negara tetapi tetap tidak membenarkan mahasiswa terlibat dengan organisasi politik. Boleh bersekutu tetapi dengan syarat-syarat yang lebih jelas dinyatakan.

Walaupun berbeza dengan cadangan sahabat peguam, penulis tetapi matlamat dan mesejnya sama iaitu tetap tida membenarkan terlibat dengan pertubuhan politik.

Pinda AUKU untuk benarkan mahasiswa berpolitik

Hari ini ada cadangan dari pemimpin pemuda bahawa AUKU perlu dipinda atas pendapat bahawa ingin melahirkan pelapis masa depan Negara. Penulis cuba memahami tafsiran ini apakah benar dengan membenarkan mahasiswa terlibat dengan politik maka terlahirlah pemimpin pelapis masa depan?

Penulis sangat percaya hari ini pun memang ramai mahasiswa terlibat dengan politik, jadi ahli parti itu dan parti ini tetapi berapa dan siapa yang sanggup menghukum mereka?. Berapa universiti sanggup mengambil tindakan tegas atas

Seksyen 15a (pindaan) “(2) Mana-mana orang yang melanggar subseksyen
(1) boleh dikenakan tindakan tatatertib.”;

Malah sebelum dipindapun pelaksanaan hukuman AUKU masih gagal dilakukan apatah lagi kesalahan penyertaan dalam politik. Kalau adapun masih boleh dihitung jumlahnya.

Yang penulis nampak sejak akta ini ditubuhkan 1971, Anwar Ibrahim yang lantang menentang AUKU pernah jadi Menteri Pelajaran dan Timbalan Perdana Menteri (tidak memansuhkannya), Dato’ Ibrahim Ali yang lantang mengkritik AUKU semasa di UiTM pun sekarang jadi Ahli Parlimen Pasir Mas, Dato’ Seri Khir Toyo pernah menjadi Menteri Besar Negeri Selangor, malah penulis boleh sebut rakan-rakan penulis dulu dalam era tahun 2000 yang jelas menentang kerajaan melalui demontrasi, atau mengkritik kerajaan secara terbuka dalam media kini begitu selesa bergoyang kaki menjadi PTD Gred 41, Gred 48 atau mungkin dah menjadi Gred 52. Jika dulu merekalah bersuara kerajaan ini kerajaan haramlah, tidak islamiklah tetapi kini merekalah yang makan gaji dengan kerajaan. Cuba bayangkan kalau mereka ini menjadi ketua jabatan dan pembuat keputusan?

Penulis cuma berpendapat apa yang kita ada dikekalkan. Yang adapun masih belum dapat dikawal sepenuhnya. Jangan nanti “terhantuk baru tengadah”.

Mari kita memahami keadaan. Bukankah ada perbezaan antara mahasiswa yang belajar di luar Negara dan IPT dalam Negara? Dalam Negara situasi penglibatan politik secara terus amat berbahaya jika tiadanya undang-undang yang diperuntukkan dalam AUKU. Tidaklah bermaksud mahasiswa dalam Negara itu ‘bodoh’ dan ‘dungu’ atau ‘kelas kedua’ tetapi mereka mempertahankan apa yang ada untuk Negara, ternyata mereka jauh lebih memahami dan lebih “Patriotik’ kepada negaranya. - JJ

No comments:

Post a Comment