11 August 2010

Janganlah dibuang! siapa prihatin?

Apalah dosa anak kecil ini.
1. Cerita mengenai seekor itik betina dan lapan ekor anaknya di Kiel, Jerman yang disiarkan di halaman luar negara Utusan Malaysia semalam menceritakan kasih sayang makhluk tuhan kepada anaknya sehingga menyebabkan gangguan 2 jam operasi pengangkutan awam di Jerman. Kesungguhan itik betina itu menyelamatkan salah seekor anaknya yang tersangkut pada landasan komuter merupakan satu mesej betapa binatang yang tidak berakal pun sangat sayangkan anaknya

2. Itu adalah cerita binatang, bagaimana pula mengenai cerita manusia mempunyai akal yang membuang anaknya?. Menyayat hati apabila dilaporkan semalam tiga lagi kes pembuangan bayi di Segamat (masih hidup) dan dua lagi melibatkan mayat masing-masing di Tanjung Rambutan dan Georgetown.

3. Apakah yang menyebabkan perkara ini berlaku? Dari sudut agama kita menyaksikan betapa rapuhnya pegangan agama si pelaku yang menyebabkan berlakunya perkara ini.

4. Begitu juga dari sudut budaya betapa rapuhnya sistem nilai dan norma masyarakat kita sekarang. Sudah tiba masanya masyarakat turut sama-sama menyelesaikan masalah ini. Selama ini masyarakat kita sering terikat dengan tafsiran nilai sebagai suatu idea atau prinsip yang dikongsi masyarakat (meliputi tanggapan baik atau buruk dalam sesebuah kebudayaan) lantaran itu kita melihat sesuatu dengan cara orang yang melakukan perbuatan baik atau buruk.

5. Selepas itu masyarakat akan menjatuhkan hukuman sekiranya sesuatu perbuatan atau perkara menyalahi nilai dan norma masyarakat itu. Pelaku akan dihukum dan dipandang serong sehingga memalukan si pelaku atau individu berkenaan. Apabila sesuatu kesalahan itu persepsinya sangat buruk maka mereka sanggup melakukan suatu kesalahan yang besar termasuk membuang anak kerana tidak dapat menanggung malu jika anak luar nikah dilahirkan.

6. Sipelaku mencerminkan faktor agama tidak penting sehingga Sipelaku lupa betapa Allah menyaksikan perbuatannya. Sipelaku berkenaan lebih rela tidak dihukum oleh masyarakat akibat perbuatannya berbanding hukuman Allah di akhirat nanti. Padanya “malu” dan “dipandang serong” oleh masyarakat itu jauh lebih besar salahnya berbanding salahnya kepada Allah Tuhan yang Menciptanya.

No comments:

Post a Comment